Danke Schon `Afif

| Monday, October 4, 2010 | |
"Wer zu spat kommt, den bestraft das Leben" - Life punishes who ever came late.

Pepatah Jerman di atas tepat menggambarkan apa yang berlaku pada Ahad, 26 September. Siri Sarasehan KAMY 04/2010 yang sepatutnya bermula jam 3, hanya dapat berlangsung jam 4 petang gara-gara kelewatan kebanyakan ahli KAMY.

Nah, padahnya, KAMY cuma dapat menimba sedikit sahaja ilmu dan pengalaman `Afif Anuar, pembicara topik "Hallo Jerman".

Mengenali Jerman daripada kacamata penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal ini sangat menarik dan mengesankan. Dengan gaya tenang, teratur lagi bersahaja, `Afif mampu menarik minat audiens memahami budaya dan cara hidup masyarakat yang mengutamakan ketepatan masa. Buktinya, Setiausaha KAMY bercadang melelapkan mata sepanjang program, namun dek penangan aura pembicara topik telah menghilangkan kantuk yang ada. ;)

Selain daripada mementingkan masa, bangsa Jerman sentiasa merancang masa hadapan. Baik dalam urusan harian, kerja mahupun percutian, mereka merencana apa jua aktiviti dengan sebaiknya. Tiada pertemuan, mesyuarat dilakukan tanpa temujanji, hatta ke salon rambut pun.

Yang menariknya, kadar kemalangannya, antara yang terendah di Eropah, walaupun di sesetengah kawasan, tiada sebarang had kelajuan ditetapkan! Mungkin Malaysia patut mempelajari tentang hal ini bagi mengurangkan kadar kemalangan jalanraya yang semakin meningkat.

Wo ist toilette? adalah antara ayat yang seharusnya dipelajari agar kita mudah berkomunikasi. Guten tag untuk Good Day. Wie geht es Ihnen? dijawab dengan Gut. Menurut `Afif yang mempelajari bahasa Jerman selama dua tahun setengah di tanahair sebelum terbang ke Jerman, bahasa ini mempunyai persamaan dengan bahasa Inggeris. Kemampuan `Afif menguasai bahasa Inggeris banyak membantu beliau mempelajari bahasa ini.

Warga Jerman menghargai alam sekitar dengan berbasikal ke mana sahaja. Pengkitaran semula menjadi amalan harian agar persekitaran bersih dan selamat. Di sana, setiap perkhidmatan dikenakan bayaran. Masyarakat terdidik bertanggungjawab apabila semakin banyak sampah dibuang, semakin tinggi harga yang perlu dibayar! Menarik bukan?

Hmm...masa terasa singkat apabila `Afif menutup siri Saresahan dengan Auf wiederschen.
Belum puas mengenali masyarakat Jerman dengan pelbagai sisi positif mereka, `Afif mengundur diri.

Danke Schon `Afif! Semoga KAMY berpeluang lagi berkongsi pengalaman `Afif di masa akan datang. :)


Nadiah Zainal
Setiausaha KAMY

2 comments:

Haizir Says:
October 5, 2010 at 5:05 AM

Entri yang menarik, Nadiah! Syabas. Tentang kelewatan melampau tu, dah sangat kerap berlaku, rasanya dalam setiap Wacana / Sarasehan sebelum ini pun. Mungkin kerana kita menggunakan "Masa itu emas" yang kurang tarikan dan tiada ancaman jika mengingkarinya. Pepatah Jerman itu wajar diteladani. Ia agak mirip dengan pepatah Arab, "Masa itu ibarat pedang" yang juga punya elemen ancaman kepada sesiapa yang ingkar.

azizah Says:
October 5, 2010 at 9:16 PM

Ya.. Entri yang menarik.. Tahniah nadiah dan sekutunya :-)