Rakyat Malaysia mengingati 10 Oktober 2010 sebagai tarikh perkahwinan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dengan pasangannya di Putrajaya. Kehadiran lebih 1500 tetamu termasuk angkasawan luar negara telah dicatat di dada akhbar.
Pada tarikh yang sama, berlangsung suatu peristiwa yang tidak kurang pentingnya di Lot 53 A Kg. Pasir Baru, Petaling. Satu projek kecil tapi signifikan telah berjaya dikendalikan oleh beberapa aktivis YPU-KAMY dibantu oleh anak-anak kecil Taski Kg. Pasir pada Ahad, tepat jam 10 pagi. Pengerusi YPU telah menanam sebatang pokok pisang, pokok mambu (neem) dan pokok durian belanda di sekitar kawasan Taski dalam usaha mengurangkan kepanasan global menerusi agenda lokal. Usaha murni ini adalah anjuran organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa iaitu 350.0rg dan International Biochar Initiatives.
10.10.10 jam 10 pagi merupakan tarikh keramat di seluruh dunia apabila lebih daripada 5000 NGO melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat mengurangkan kepanasan global. Gerakan dunia ini memberi impak besar terhadap alam sekitar.
Taski Kg. Pasir sebelum jam 10, telah menganjurkan pertandingan mewarna lukisan pokok dan alam sekitar khusus untuk kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun. Inisiatif ini penting dalam usaha mendidik generasi kecil mencintai dan memelihara alam sekitar.
Sdr. Hj. Ahmad Kamal Ali, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPU yang komited dengan pelbagai usaha membantu masyarakat menjayakan projek pertanian secara organik, penggunaan baja kompos, penanaman bandar (urban farming) dan banyak lagi; merupakan individu utama mencetuskan idea kepada ahli-ahli KAMY mengadakan projek yang diadakan serentak di seluruh dunia ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa satu pusat organik telah diwujudkan di Kg. Cerakah Jaya. Projek di bawah Jabatan Pertanian Selangor ini membantu dan membimbing masyarakat dalam menghasilkan benih organik. Sdr. Hj. Kamal terlibat secara langsung memberi latihan pada setiap Rabu di lokasi tersebut. Dan, ahli-ahli KAMY turut diseru menyertai projek ini.
10.10.10 di Kg. Pasir sangat bermakna buat para aktivis KAMY. Mungkin, bagi anak-anak kecil Taski Kg. Pasir mereka belum memahami apa itu kepanasan global, namun mereka sudah sewajarnya diberi pendedahan. Ibarat kata melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Sekalung penghargaan buat Cik Leha sekeluarga yang sudi menjadi tuan rumah projek ini. Bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan tempat dan hidangan, malahan berusaha mengundang ibu bapa dan menganjurkan pertandingan mewarna untuk anak-anak Taski. Terima kasih Cik Leha!
Terima kasih jua kepada `Adibah yang mewakili KAMY memberi ucapan, Lookman sebagai pembaca do'a, 2 orang ahli KAMY yang baru [Leman dan Iza]. Leman yang beraksi hebat mencangkul tanah, Joy dan Iza yang turut menolong di dapur Taski, Cik Jamaliah yang menyediakan laksa best, Pak Ngah dan Mak Ngah. Tak lupa buat adik-beradik Diba i.e. Dr. Amirah-in-the-making, Arifah, Ammar, Anisah & Azizi.
Moga-moga pohon pisang, neem dan durian belanda 10.10.10 yang ditanam En. Anuar akan hidup subur sebagai lambang usaha murni kami, aktivis KAMY!
2 comments:
October 19, 2010 at 1:26 AM
Syabas!
October 19, 2010 at 6:14 AM
Setiausaha KAMY,
Teruskan usaha saudari.
Post a Comment