PROJEK QURBAN MRA DI PAKISTAN

| Monday, October 25, 2010 | 0 comments |
Salam buat ativis KAMY,

Hari Raya Qurban bakal menjelang. Sekiranya ada di kalangan aktivis KAMY yang bercadang mengerjakan ibadah Qurban, sukacita saya memanjangkan satu Projek Qurban di Pakistan anjuran Malaysian Relief Agency. Satu bahagian Qurban hanyalah RM300 (1/7) dan seekor lembu berjumlah RM2100.

Sekretariat MRA di Peshawar akan menyelaras urusan pembelian dan penyembelihan daging lembu pada Hari Raya Qurban.

Adalah sewajarnya kita membantu mereka yang layak dan sangat memerlukan daging lembu setelah sekian lama memakan roti dan kacang dal rebus ekoran banjir besar tempohari.

Sekiranya berkemampuan dan ingin mengerjakan ibadah mulia ini, bolehlah terus menghubungi pihak MRA atau juga mewakilkan kepada saya memandangkan saya juga mengenali beberapa orang anggota MRA ini yang telah terlibat dengan projek kesukarelaan semenjak tahun 80 an lagi.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web ini.


Terima kasih semua.
Haslina Othman

10.10.10

| Monday, October 18, 2010 | 2 comments |

Rakyat Malaysia mengingati 10 Oktober 2010 sebagai tarikh perkahwinan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dengan pasangannya di Putrajaya. Kehadiran lebih 1500 tetamu termasuk angkasawan luar negara telah dicatat di dada akhbar.

Pada tarikh yang sama, berlangsung suatu peristiwa yang tidak kurang pentingnya di Lot 53 A Kg. Pasir Baru, Petaling. Satu projek kecil tapi signifikan telah berjaya dikendalikan oleh beberapa aktivis YPU-KAMY dibantu oleh anak-anak kecil Taski Kg. Pasir pada Ahad, tepat jam 10 pagi. Pengerusi YPU telah menanam sebatang pokok pisang, pokok mambu (neem) dan pokok durian belanda di sekitar kawasan Taski dalam usaha mengurangkan kepanasan global menerusi agenda lokal. Usaha murni ini adalah anjuran organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa iaitu 350.0rg dan International Biochar Initiatives.

10.10.10 jam 10 pagi merupakan tarikh keramat di seluruh dunia apabila lebih daripada 5000 NGO melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat mengurangkan kepanasan global. Gerakan dunia ini memberi impak besar terhadap alam sekitar.



Taski Kg. Pasir sebelum jam 10, telah menganjurkan pertandingan mewarna lukisan pokok dan alam sekitar khusus untuk kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun. Inisiatif ini penting dalam usaha mendidik generasi kecil mencintai dan memelihara alam sekitar.



Sdr. Hj. Ahmad Kamal Ali, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPU yang komited dengan pelbagai usaha membantu masyarakat menjayakan projek pertanian secara organik, penggunaan baja kompos, penanaman bandar (urban farming) dan banyak lagi; merupakan individu utama mencetuskan idea kepada ahli-ahli KAMY mengadakan projek yang diadakan serentak di seluruh dunia ini.


Beliau juga memaklumkan bahawa satu pusat organik telah diwujudkan di Kg. Cerakah Jaya. Projek di bawah Jabatan Pertanian Selangor ini membantu dan membimbing masyarakat dalam menghasilkan benih organik. Sdr. Hj. Kamal terlibat secara langsung memberi latihan pada setiap Rabu di lokasi tersebut. Dan, ahli-ahli KAMY turut diseru menyertai projek ini.

10.10.10 di Kg. Pasir sangat bermakna buat para aktivis KAMY. Mungkin, bagi anak-anak kecil Taski Kg. Pasir mereka belum memahami apa itu kepanasan global, namun mereka sudah sewajarnya diberi pendedahan. Ibarat kata melentur buluh, biarlah dari rebungnya.




Sekalung penghargaan buat Cik Leha sekeluarga yang sudi menjadi tuan rumah projek ini. Bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan tempat dan hidangan, malahan berusaha mengundang ibu bapa dan menganjurkan pertandingan mewarna untuk anak-anak Taski. Terima kasih Cik Leha!

Terima kasih jua kepada `Adibah yang mewakili KAMY memberi ucapan, Lookman sebagai pembaca do'a, 2 orang ahli KAMY yang baru [Leman dan Iza]. Leman yang beraksi hebat mencangkul tanah, Joy dan Iza yang turut menolong di dapur Taski, Cik Jamaliah yang menyediakan laksa best, Pak Ngah dan Mak Ngah. Tak lupa buat adik-beradik Diba i.e. Dr. Amirah-in-the-making, Arifah, Ammar, Anisah & Azizi.



Moga-moga pohon pisang, neem dan durian belanda 10.10.10 yang ditanam En. Anuar akan hidup subur sebagai lambang usaha murni kami, aktivis KAMY!

Danke Schon `Afif

| Monday, October 4, 2010 | 2 comments |
"Wer zu spat kommt, den bestraft das Leben" - Life punishes who ever came late.

Pepatah Jerman di atas tepat menggambarkan apa yang berlaku pada Ahad, 26 September. Siri Sarasehan KAMY 04/2010 yang sepatutnya bermula jam 3, hanya dapat berlangsung jam 4 petang gara-gara kelewatan kebanyakan ahli KAMY.

Nah, padahnya, KAMY cuma dapat menimba sedikit sahaja ilmu dan pengalaman `Afif Anuar, pembicara topik "Hallo Jerman".

Mengenali Jerman daripada kacamata penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal ini sangat menarik dan mengesankan. Dengan gaya tenang, teratur lagi bersahaja, `Afif mampu menarik minat audiens memahami budaya dan cara hidup masyarakat yang mengutamakan ketepatan masa. Buktinya, Setiausaha KAMY bercadang melelapkan mata sepanjang program, namun dek penangan aura pembicara topik telah menghilangkan kantuk yang ada. ;)

Selain daripada mementingkan masa, bangsa Jerman sentiasa merancang masa hadapan. Baik dalam urusan harian, kerja mahupun percutian, mereka merencana apa jua aktiviti dengan sebaiknya. Tiada pertemuan, mesyuarat dilakukan tanpa temujanji, hatta ke salon rambut pun.

Yang menariknya, kadar kemalangannya, antara yang terendah di Eropah, walaupun di sesetengah kawasan, tiada sebarang had kelajuan ditetapkan! Mungkin Malaysia patut mempelajari tentang hal ini bagi mengurangkan kadar kemalangan jalanraya yang semakin meningkat.

Wo ist toilette? adalah antara ayat yang seharusnya dipelajari agar kita mudah berkomunikasi. Guten tag untuk Good Day. Wie geht es Ihnen? dijawab dengan Gut. Menurut `Afif yang mempelajari bahasa Jerman selama dua tahun setengah di tanahair sebelum terbang ke Jerman, bahasa ini mempunyai persamaan dengan bahasa Inggeris. Kemampuan `Afif menguasai bahasa Inggeris banyak membantu beliau mempelajari bahasa ini.

Warga Jerman menghargai alam sekitar dengan berbasikal ke mana sahaja. Pengkitaran semula menjadi amalan harian agar persekitaran bersih dan selamat. Di sana, setiap perkhidmatan dikenakan bayaran. Masyarakat terdidik bertanggungjawab apabila semakin banyak sampah dibuang, semakin tinggi harga yang perlu dibayar! Menarik bukan?

Hmm...masa terasa singkat apabila `Afif menutup siri Saresahan dengan Auf wiederschen.
Belum puas mengenali masyarakat Jerman dengan pelbagai sisi positif mereka, `Afif mengundur diri.

Danke Schon `Afif! Semoga KAMY berpeluang lagi berkongsi pengalaman `Afif di masa akan datang. :)


Nadiah Zainal
Setiausaha KAMY

Projek 10.10.10 : Mengurangi Kepanasan Global - Agenda Lokal

| | 0 comments |
Pada 10.10.10 di setiap pelusuk dunia, pelbagai usaha akan dilakukan bagi mengurangkan masalah kepanasan global. Antaranya ialah dengan menanam pokok, mengusahakan kebun secara organik, menggunakan tenaga solar, menaiki basikal, kitar semula dan banyak lagi.

KAMY tidak ketinggalan menyambut baik idea Projek 10.10.10 ini dengan menanam pokok. Untuk itu, KAMY mengundang semua AJK, aktivis KAMY & YPU, serta sesiapa yang berminat untuk sama-sama menjayakan misi menyelamatkan dunia!

Projek 10.10.10 akan diadakan di kawasan kediaman Pn. Siti Zaleha Syed Idris, seorang aktivis YPU. Maklumat program adalah seperti berikut:


Projek 10.10.10
di Lot 53A, Kg. Pasir Baru, Petaling, Kuala Lumpur
9:00a.m. - 11:00a.m.

9.00a.m. - 9.30a.m :
Pertandingan Mewarna oleh Anak-anak murid Taski Kg. Pasir

9.30a.m. - 10.00a.m:
Ucapan oleh Sdr. Hj. Ahmad Kamal Mohd Ali
(Ahli lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Ummah)

10.00a.m. - 10.30a.m:
Acara Menanam Pokok

10.30a.m - 10.35a.m:
Ucapan AJK KAMY

10.35a.m - 11.00a.m:
Minum pagi


KAMY tidak bersendirian dalam misi murni ini. Terdapat lebih 5987 persatuan yang turut menjayakannya. Sila layari laman web ini. Marilah menyinsing lengan menanam pokok seperti mungai atau kelor, neem atau mambu, buluh madu dan sebagainya serta bersama-sama mengikuti perkembangan pertumbuhannya sekerap yang mungkin.

Ayuh selamatkan dunia dengan usaha kecil ini!

Kita jumpa di Kg. Pasir Baru jam 9 pagi pada Ahad, 10 Oktober 2010. :)



Nadiah Zainal
Setiausaha KAMY