Dinner MRA di Masjid Wilayah Persekutuan

| Thursday, July 15, 2010 | 1 comments |
Sabtu malam yang lepas (10 Julai 2010 ) Malaysian Relief Agency (MRA) telah mengadakan dinner untuk menghargai semua penderma-penderma yang sudi membantu dalam mereka dalam projek yang dianjurkan. Cik Fauziah telah menjemput KAMY untuk membantu dalam program tersebut. Wakil KAMY yang dapat menghadirkan diri ialah Farhan, Luqman, Joy dan Nadiah. Program bermula jam 8 malam. Tetapi kami diminta datang lebih awal untuk taklimat program.

Jam 6.45 petang, wakil KAMY semua telah berjaya sampai untuk pertama kalinya ke Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta. Dulu ada juga Siti menjemput KAMY ke majlis nikahnya di sini, tetapi masa itu sedang sibuk belajar. Tak sempat datang. Haha. Program berlangsung di Dewan Muslimat 1, di dalam masjid. Sesampai di sana, kami berjumpa dengan saudari Anis yang merupakan salah seorang pekerja MRA. Datang dengan semangat untuk membantu yang tinggi pada malam itu. Tugas yang tinggal hanyalah menulis nama wakil untuk diletakkan di atas meja. Hehe. Tugas itu diserahkan kepada Nadiah. Agak mudah sebenarnya, cuma menulis sahaja. Tetapi, agak mencabar untuk orang yang tangannya tidak dibedung dengan elok masa kecil. Hehe. Mujur ada seorang sukarelawan dari Hospital Al-Ikhsan yang sudi membantu menulis. Terima kasih Fyza. Selain itu, Joy membantu dalam bahagian pendaftaran tetamu. Kesukaran untuk mencari nama tetamu kerana tidak disusun mengikut aturan huruf, tetapi Joy berjaya juga menjadi pendaftar yang berjaya. Lepas ni, boleh duduk di pondok panas pula Joy. Atas inisiatif sendiri, Farn dan Luqman membantu menjadi tanda arah untuk tetamu. Kerana kedudukan dewan yang agak tersorok dari pandangan dan tiada tanda arah, Farn dan Luqman berdiri memakai vest MRA untuk memudahkan tetamu yang datang dan langsung menunjukkan arah dewan dari pintu masuk masjid.

* Pendaftaran *

Semasa pendaftaran berlangsung, kami berehat sebentar untuk menunaikan fardu maghrib secara berjemaah. Selepas maghrib, program pun bermula. Kami dijemput untuk mengisi meja dan makan bersama-sama dengan penderma yang lain. Dimulai dengan ucapan alu-aluan dari Presiden MRA, mengalu-alukan kedatangan semua dan memberikan penerangan mengenai program-program yang telah dijalankan antaranya membantu warga Rohingya, Program Tautan Kasih untuk orang asli di Slim River, membantu orang kurang upaya, bantuan kemanusiaan ke Sumatera dan banyak lagi. Selepas itu, berehat sebentar untuk berjemaah isyak dan kemudian disambung dengan makan makanan yang terhidang.

* Luqman dan Nadiah bersama dua orang yang gembira, Farn (fun) & Joy. *

Kredit gambar : Solid State Studio-Saudara Shah

Acara diteruskan dengan ucapan seorang wakil MRA ke Sumatera. Beliau menceritakan pengalaman semasa beliau berada di sana. Ketika sedang bercerita dengan menarik pengalaman beliau, tiba-tiba beliau menjadi sebak kerana ketika di sana hanya tinggal lebih kurang 3 kumpulan sukarelawan Islam yang membantu mangsa gempa di Sumatera. Yang lain merupakan kumpulan dari agama Kristian dan lain-lain. Sangat sedih beliau menceritakannya kerisauan dan kebimbangan umat Islam di sana sehingga berlinangan air mata. Tugas yang berat untuk KAMY, menjadi satu kumpulan sukarelawan Islam dan membantu umat islam khususnya. Marilah kita, warga KAMY. Bangkitlah wahai saudara!!

Majlis sepatutnya dimeriahkan dengan nyanyian anak-anak Rohingya, malangnya van yang membawa mereka terlibat dengan kemalangan. Mujur tiada yang cedera. Namun, kami sudah cukup gembira malam itu. Dapat membantu kecil program untuk meraikan orang-orang yang telah membantu orang lain. Mungkin selepas ini, KAMY akan menjalankan aktiviti kemanusiaan seperti itu. KAMY sedang belajar dan masih belajar untuk sampai ke tahap itu. InsyaALLAH.


P/S : Jangan lupa menghadirkan diri ke sarasehan KAMY pada sabtu ini dengan tajuk, Goal Setting using Neuro-linguistic Programming (NLP) jam 10 pagi di YPU. :)



Sajak sempena Hari KAMY. Karya HAT.

| Sunday, July 4, 2010 | 1 comments |


Derai – derai Satu Julai

(Buat Farhan, Diba, Nadiah, Nazifah, Lokman dan lain-lain)


Satu Julai

Mungkin tidak sebesar satu Mei

Namun ia keramat sekali

Bukan hari para wali

Tetapi tarikh syahdu

Untuk kalian

Anak-anakku


Kalian kumandangkan

Lirik lagu gubahan ayahmu

‘ … Bangkitlah wahai saudara

Kita bina bangsa utama …’

Gemersik suara Ameer

Mengingat zaman digital ini

Bukan era spuknik lagi


Satu Julai

Tarikh mulia

Tiga tahun dulu

Sesudah bersumpah di kaki Merapi

Kalian tawan puncak Irau

Kalian mampir ke Temasik

Lalu bermalam di Phakbara

Dan singgah di Kuala Kedah


Semua itu adalah perjalanan

Dari sebuah permulaan

Bagi citra

Dan warna-warna jingga

Buat hari muka


Nadiah

Kutitipkan sebuah nota

Agar menjadi wasiat

Dari seorang bapa

Yang merindukan

Sebuah pasukan baru

Bakal menggegar

Buana dan nusantara


Dengan cerita

Sang pemula

Penggerak bakti

Dan amal mulia

Dari akal budi

Pangeran dan puteri

Tangkas lagi berani

Mengharung hari-hari muka


Dan hari ini

Kendati tidak sebesar satu Mei

Akan tetap didaulati

Dari derai-derai

Satu Julai

Kalian pancangkan

Dan kibarkan bendera KAMY

Justeru

Satu Julai hari KAMY

Juga hari kami

Para paman

Para ibu

Para kakakmu


Kuala Lumpur

1 Julai 2010

Haji Anuar Tahir

SELAMAT HARI KAMY!!

| Thursday, July 1, 2010 | 0 comments |
Hari ini genap tahun ke-3 KAMY ditubuhkan. Mengimbau sambutan pada tahun pertama KAMY agak menarik. KAMY menyambut di KL Sentral pada 2008. Sempena dengan Malam Citra KAMY yang dibuat untuk mengutip dana. Kejutan yang dibuat Cik Anuar dengan membeli kek yang sedap dari Secret Recipe. Tahun lepas, KAMY kurang berprogram pada bulan Julai. Kemudian terus ke Mesyuarat Agung Tahunan ke-2 KAMY di dewan serbaguna SIRIM pada bulan Ogos. Tidak sempat menyambutnya secara formal. Tetapi KAMY masih meneruskan program-program seperti biasa. Bersama KAMY, kami menjadi seseorang. Seseorang yang dapat membantu orang yang memerlukan. Bukankah sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat memberi kesenangan kepada orang lain?

Sangat banyak jasa dan pengorbanan orang yang menjadi tulang belakang di sebalik penubuhan KAMY. Setinggi-tinggi terima kasih haruslah diberikan kepada Pengerusi YPU dan pencetus idea menubuhkan KAMY pada tahun 2007. Buat Encik Anuar Haji Tahir, terima kasih yang tidak terhingga atas semua perhatian dan kasih sayang kepada KAMY. Tidak terbalas jasa, pengorbanan dan semua kasih sayang Cik Anuar terhadap KAMY. Segala nasihat dan tunjuk ajar akan KAMY manfaatkan sehabis baik. Jutaan terima kasih Cik Anuar.

Selain itu, Saudari Haslina Othman. Orang yang banyak mengambil tanggungjawab ketika Cik Anuar berada nun jauh di Kedah. Bersama-sama beliau, KAMY mengorak dan mengatur perjalanan program sepanjang tahun. Tidak dilupa, Cik Siti Jamaliah dan Puan Siti Zaleha atas segala sokongan dan dorongan untuk memantapkan lagi KAMY. Segala ilmu dan pengalaman dikongsi dan turut tidak ketinggalan mengikuti hampir kesemua program-program KAMY.


Kesemua aktivis-aktivis YPU seperti En. Wan Kharizal, Saudara Shahrul, Saudara Azman, En Kamal, Dr Azizah, Puan Azizah Che Mat, En Khairil dan Puan Shima, En Mohd Nor dan yang tidak tersebut di sini (maafkan saya) yang memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman bersama KAMY. InsyaALLAH, KAMY masih belajar dan akan terus belajar untuk menjadi sukarelawan sehebat kalian semua.

Terima kasih juga buat semua ahli jawantankuasa tertinggi KAMY yang baru dan yang lama kerana bersama-sama menghidupkan KAMY. Tidak lupa kepada semua aktivis KAMY yang bersama-sama meneruskan perjuangan dan komitmen yang tinggi dengan menghadirkan diri semasa program-program KAMY. Terima kasih atas pengorbanan dan kebersamaan meneruskan perjuangan KAMY.

Semoga KAMY akan lebih berjaya dalam meneruskan aktiviti-aktiviti kesukarelaan dan menjadi satu persatuan yang disegani pada tahun-tahun akan datang. InsyaALLAH.

Selamat HARI KAMY! (Cik Anuar yang beri nama ni)

Terima kasih.