Dalam perjalanan itu, kami melepasi roda ferris terbesar (aku tidak ingat sama ada ianya terbesar di dunia, di Asia atau di mana) yang menjadi antara tarikan paling utama pelancong ke Singapura. Ia sangat agam, jauh lebih besar daripada Eyes On Malaysia yang kini diletakkan di Melaka. Menaikinya agaknya membolehkan kita melihat sebahagian besar Singapura. Tetapi roda besar itu hanya mampu menjadi pencuci mata kami kerana menurut Pak Djamal, untuk menaikinya kamu perlu mendaftar sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal kerana roda itu direbut-rebut orang dari seluruh dunia.
Selepas beberapa ketika, van yang kami naiki menyusur Lorong 12, Geylang dan berhenti di hadapan bangunan bernombor 31. Kami telah tiba di Jam’iyyah. Kedatangan kami telah pun ditunggu dan disambut ahli-ahli Jam’iyyah lelaki dan perempuan di depan pintu masuk ke bangunan mereka. Di dalam dewan, kami dibawa duduk dan disambut dengan pantun oleh pengerusi majlisnya. Seterusnya, bangunan setinggi tujuh tingkat itu kami “jelajahi” setingkat demi setingkat untuk melihat kegiatan yang dijalankan badan dakwah ini. Bangunan Jam’iyyah punya ruang solat yang boleh didirikan solat Jumaat di dalamnya, kelas-kelas Tadika tempat anak kecil dijaga dan dididik, ruang kedai ala koperasi, bilik kaunseling dengan kaunselor bertauliah dan berpengalaman, malah klinik perubatan lengkap dengan kelengkapan dan ubat-ubatan. Melihat semua ini, aku menjadi kagum dengan kehebatan pendukungnya, terutama Presidennya kini, Haji Abu Bakar Maidin yang kukira sedang memanjat usia 70-an.
Dakwah di Singapura fikirku tidak sekompleks di Malaysia. Di Malaysia, jika kamu terlibat dengan gerakan dakwah, kamu akan segera dilabel dengan pelbagai gelar terutama pro parti politik tertentu. Tetapi ini tidak berlaku di Singapura kerana negara itu dikuasai oleh satu parti tunggal yang cukup dominan dan sukar digugat, maka politiking di sana hampir tiada dan mereka boleh menumpukan kepada usaha membangunkan negara. Ya, barang pasti ada pro dan kontra keadaan sebegini. Kontranya ialah seperti ada dakwaan bahawa penduduk Singapura penakut untuk mengeluarkan pendapat bertentangan dengan dasar kerajaan kerana undang-undang yang terlalu ketat. Ya, kerajaannya terlalu kuat, hampir tiada suara pembangkang sebagai pengimbang atau check and balance.
Dari sana, kami ke Muzium Warisan Melayu di Kampung Gelam. Ianya adalah Istana Kampung Gelam yang telah dijadikan muzium. Ah, betapa ironis! Institusi terunggul bangsaku kini hanya layak dipapar untuk tontonan orang. Di sini, terlalu banyak khazanah ilmu yang dapat kami kutip selain terlalu banyak kami mengambil gambar. Aku paling seronok dapat melihat gambar barisan pengasas Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50) di satu sudut. Di sini juga aku mengetahui bahawa Stamford Raffles, Gabenor Jeneral pertama Negeri-negeri Selat boleh berbahasa Melayu, menulis Jawi malah menulis syair!
Seterusnya, kami ke Masjid Sultan yang terletak tidak jauh dari situ untuk menunaikan solat jama’ Zuhur dan Asar. Tetapi sebelum itu kami dihidangkan dengan pembentangan dari jawatankuasa masjid tentang perjalanan aktiviti-aktiviti mereka. Mereka ternyata lari dari gaya konvensional dalam mengajak orang terutama golongan muda datang ke masjid. Namakan sahaja aktiviti berbasikal, sembang-sembang, pertandingan nyanyian, semuanya sudah mereka lakukan. Tidak hairan, mereka punya pekerja sepenuh masa bergaji untuk melakukan itu semua. Namun, itu tidak menghalang rasa kagum kami terhadap keunikan dan komitmen mereka terhadap usaha dakwah.
Setelah satu hari yang sibuk, malam itu kami ke Lapangan Terbang Changi untuk makan malam.
Singapura Bah. 3: Bersajak di Muhammadiyah
1 comments:
December 1, 2008 at 4:01 AM
Haizir,
Catatan yang menarik ;)
Post a Comment