Selamat Hari Pekerja kepada yang sudah bekerja. Diharap tidak bekerja pada hari pekerja kali ini. Dan yang masih belajar, selamat menjalani peperiksaan akhir semester. Semoga menjadi pekerja yang berdedikasi kelak.
Untuk makluman semua, Pengerusi Yayasan Pembangunan Ummah (YPU), Encik Anuar bin Tahir juga merupakan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar dan juga merangkap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. Antara aktiviti yang pernah diadakan ialah sambutan Hari Pekerja pada setiap tahun seperti di Stadium Melawati Shah Alam 2008 dan sambutan di Pulau Pinang pada tahun 2009. Berikut merupakan Perutusan dari Encik Anuar yang mewakili Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar.
PERUTUSAN 1 MEI 2010 DARIPADA
HJ. MOHD. ANUAR TAHIR
PENGERUSI LAJNAH PEKERJA PAS PUSAT
Sekali lagi kita menyambut kedatangan 1 Mei, Hari Buruh Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia oleh setiap lapisan pekerja – karyawan. Kepada para pekerja yang telah memerah otak, membanting tulang dan menggunakan tenaga di pelbagai bidang dan sektor, atas nama Lajnah Pekerja Pas Pusat, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudara-saudari yang menjadi tulang belakang dan jantung pergerakan pembangunan negara. Tanpa kesungguhan dan pengorbanan para pekerja, negara ini tidak akan sampai ke mana-mana. Namun, walaupun demikian besar jasa para pekerja, mereka belum lagi menerima pengiktirafan yang sewajarnya di Malaysia. Pemberdayaan dan pemerkasaan kaum pekerja – karyawan negara punya banyak tandatanya.
Nasib para pekerja di negara ini masih lagi di takuk lama tanpa pembelaan yang seutuhnya. Ramai yang sekadar bermanis mulut menanam tebu di bibir ketika membicarakan tentang nasib pekerja. Walhal nasib golongan majoriti rakyat ini ditinjau dari segi pendapatan, kemudahan dan keistimewaan tidak banyak berubah. Sampai saat ini pemerintah masih belum bersedia menggubal undang-undang gaji minima yang telah diperjuangkan oleh kongres kesatuan-kesatuan sekerja dan pelbagai golongan progresif di negara ini. Pembuangan pekerja tanpa pampasan yang secukupnya masih berlaku secara di mana-mana. Para pekerja kilang elektronik dan industri masih dinafikan hak berkesatuan. Semua pihak pula sama ada kerajaan dan swasta berminat kepada pengambilan pekerja secara kontrak yang nantinya mudah untuk diberhentikan. Sejak sekian lama para pekerja lelaki dan wanita meninggalkan kampung halaman berhijrah ke kota-kota besar untuk untuk mencari nafkah dan mengharapkan kehidupan baru yang lebih baik. Mereka dipujuk beramai-ramai berkhidmat dengan pelbagai syarikat-syarikat besar antarabangsa. Malangnya, ramai pula daripada mereka sejak dahulu sampai sekarang diberhentikan atau dibuang kerja dengan mudahnya apabila perusahaan-perusahaan itu tidak lagi dapat mengaut keuntungan besar. Demikianlah nasib kaum pekerja yang selalunya diperlakukan seperti pepatah orang dahulu ‘habis manis sepah dibuang’ atau seperti mana pantun klasik melayu:
Zaman dahulu bertikar pucuk,
Zaman ini bertikar mengkuang,
Zaman dahulu kita dipujuk,
Zaman ini kita dibuang.
Nasib pekerja memang selalunya malang dan di zaman kemerosotan ekonomi dunia ini hidup mereka lebih parah lagi. Kenaikan harga barang, kenaikan kos perkhidmatan, kos pengangkutan, kos kesihatan, kos pendidikan menyebabkan majoriti dari para pekerja terus dilingkari oleh belitan kemiskinan. Para majikan dan para jutawan tidak banyak yang terjejas, barisan orang-orang kaya di Malaysia tidak pernah bimbang kerana kekayaan yang ada pada mereka senitasa terjamin oleh kerana sistem dan pemerintahan yang ada mahupun dasar dan keutamaan negara sentiasa memihak kepada mereka.
Robert Kuok yang memiliki 10 ribu juta dollar, Ananda Krishnan yang bernilai 7 200 juta dollar, Lee Shin Cheng yang memiliki 5 500 juta dollar, Syed Mokhtar Al-Bukhary yang memiliki 1 800 juta dollar, Azman Hashim yang menguasai aset bernilai 700 juta dollar, atau pun Mokhzani Mahathir yang memilik harta bernilai 285 juta dollar mahupun Nazir Tun Razak yang menguasai 100 juta dollar tentu tidak tertekan seperti Saravanan seorang buruh kasar yang sudah menyimpan wang di bank sebanyak RM 20 000 tiba-tiba hampir putus urat jantungnya apabila secara tiba-tiba anaknya jatuh sakit kronik yang memerlukan pembedahan segera yang mahal harganya. Saravanan mengumpulkan wang sebanyak itu untuk membeli sebuah rumah kerana telah terlalu lama dia sekadar menyewa kediaman. Semua wang itu tidak mustahil terpaksa dihabiskan untuk pembedahan dan perubatan anak tersayang. Dia dan keluarganya akan terus bernasib malang tanpa harta, tanpa rumah sendiri tempat berteduh. (Azizi Hj. Abdullah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang).
Kaum pekerja tanpa mengira keturunan dan kepercayaan, bangkitlah dengan berani dan binalah rangkaian kesatuan, organisasi dan jamaah pro pekerja demi memperjuangkan nasib semua. Jangan menunggu sehingga anda di buang kerja barulah ingin mencari tempat mengadu sedangkan selama ini anda langsung tidak mahu menyertai rangkaian progresif pembela pekerja.
Selamat Hari Pekerja.
Dirgahayu perjuangan membela nasib pekerja.
Wassalam.
Hj. M. Anuar Tahir
Bersamaan dengan sambutan Hari Pekerja tahun 2010 ini, Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat telah menganjurkan program di bawah.
Untuk maklumat mengenai aktiviti-aktiviti pada Sabtu ini, sila layari http://www.lajnahpekerja.com/program_terkini.html
Kepada semua aktivis KAMY yang sudah bekerja ataupun belum, anda semua dijemput memeriahkan program di atas. Sabtu ini, 8 Mei 2010, di PKNS Shah Alam.
Isikan hujung minggu anda di sana. Terima kasih.
1 comments:
May 3, 2010 at 6:51 PM
Keep up the good work, Ms. Secretary ! ;)
Post a Comment