Singapura Bah. 2: Melihat Melayu (Catatan Haizir Othman)

| Monday, December 1, 2008 | 1 comments |
Pak Djamal membawa kami ke van yang akan mengangkut kami ke mana-mana sepanjang dua hari ini. Van sekecil itu rupa-rupanya mampu memuatkan kami yang seramai 20 orang selain pemandu dan Pak Djamal sendiri. Sebaik masuk ke dalam van, Pak Djamal terus “menjalankan tugasnya” memberi penerangan sedikit-sebanyak kepada kami tentang tempat-tempat yang akan kami lawati secara khasnya dan Singapura sendiri secara amnya. Tempat pertama yang akan kami lawati ialah bangunan Pertubuhan Jam’iyyah Islam Singapura di Geylang. Sebagai budayawan, Pak Djamal juga mengarifi sejarah dan beliau memberitahu kami bahawa nama Geylang itu berasal dari nama satu tempat di Indonesia dan lagu yang popular, “Geylang Si Paku Geylang” itu sebenarnya asalnya merujuk kepada Geylang di Indonesia dan bukan di Singapura. Geylang juga menurut Pak Djamal adalah nama sebuah pokok kayu.

Dalam perjalanan itu, kami melepasi roda ferris terbesar (aku tidak ingat sama ada ianya terbesar di dunia, di Asia atau di mana) yang menjadi antara tarikan paling utama pelancong ke Singapura. Ia sangat agam, jauh lebih besar daripada Eyes On Malaysia yang kini diletakkan di Melaka. Menaikinya agaknya membolehkan kita melihat sebahagian besar Singapura. Tetapi roda besar itu hanya mampu menjadi pencuci mata kami kerana menurut Pak Djamal, untuk menaikinya kamu perlu mendaftar sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal kerana roda itu direbut-rebut orang dari seluruh dunia.


Selepas beberapa ketika, van yang kami naiki menyusur Lorong 12, Geylang dan berhenti di hadapan bangunan bernombor 31. Kami telah tiba di Jam’iyyah. Kedatangan kami telah pun ditunggu dan disambut ahli-ahli Jam’iyyah lelaki dan perempuan di depan pintu masuk ke bangunan mereka. Di dalam dewan, kami dibawa duduk dan disambut dengan pantun oleh pengerusi majlisnya. Seterusnya, bangunan setinggi tujuh tingkat itu kami “jelajahi” setingkat demi setingkat untuk melihat kegiatan yang dijalankan badan dakwah ini. Bangunan Jam’iyyah punya ruang solat yang boleh didirikan solat Jumaat di dalamnya, kelas-kelas Tadika tempat anak kecil dijaga dan dididik, ruang kedai ala koperasi, bilik kaunseling dengan kaunselor bertauliah dan berpengalaman, malah klinik perubatan lengkap dengan kelengkapan dan ubat-ubatan. Melihat semua ini, aku menjadi kagum dengan kehebatan pendukungnya, terutama Presidennya kini, Haji Abu Bakar Maidin yang kukira sedang memanjat usia 70-an.





Dakwah di Singapura fikirku tidak sekompleks di Malaysia. Di Malaysia, jika kamu terlibat dengan gerakan dakwah, kamu akan segera dilabel dengan pelbagai gelar terutama pro parti politik tertentu. Tetapi ini tidak berlaku di Singapura kerana negara itu dikuasai oleh satu parti tunggal yang cukup dominan dan sukar digugat, maka politiking di sana hampir tiada dan mereka boleh menumpukan kepada usaha membangunkan negara. Ya, barang pasti ada pro dan kontra keadaan sebegini. Kontranya ialah seperti ada dakwaan bahawa penduduk Singapura penakut untuk mengeluarkan pendapat bertentangan dengan dasar kerajaan kerana undang-undang yang terlalu ketat. Ya, kerajaannya terlalu kuat, hampir tiada suara pembangkang sebagai pengimbang atau check and balance.

Dari sana, kami ke Muzium Warisan Melayu di Kampung Gelam. Ianya adalah Istana Kampung Gelam yang telah dijadikan muzium. Ah, betapa ironis! Institusi terunggul bangsaku kini hanya layak dipapar untuk tontonan orang. Di sini, terlalu banyak khazanah ilmu yang dapat kami kutip selain terlalu banyak kami mengambil gambar. Aku paling seronok dapat melihat gambar barisan pengasas Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50) di satu sudut. Di sini juga aku mengetahui bahawa Stamford Raffles, Gabenor Jeneral pertama Negeri-negeri Selat boleh berbahasa Melayu, menulis Jawi malah menulis syair!









Seterusnya, kami ke Masjid Sultan yang terletak tidak jauh dari situ untuk menunaikan solat jama’ Zuhur dan Asar. Tetapi sebelum itu kami dihidangkan dengan pembentangan dari jawatankuasa masjid tentang perjalanan aktiviti-aktiviti mereka. Mereka ternyata lari dari gaya konvensional dalam mengajak orang terutama golongan muda datang ke masjid. Namakan sahaja aktiviti berbasikal, sembang-sembang, pertandingan nyanyian, semuanya sudah mereka lakukan. Tidak hairan, mereka punya pekerja sepenuh masa bergaji untuk melakukan itu semua. Namun, itu tidak menghalang rasa kagum kami terhadap keunikan dan komitmen mereka terhadap usaha dakwah.

Setelah satu hari yang sibuk, malam itu kami ke Lapangan Terbang Changi untuk makan malam.

Singapura Bah. 3: Bersajak di Muhammadiyah

Sajak oleh Sdr. Haizir

| Friday, November 28, 2008 | 1 comments |
Di Bawah Suria Singapura

Kami melewatimu sewaktu hari masih terlalu muda
Dalam gerabak panjang mel Senandung Malam,
bulan penuh malam Dzulqa'idah mengiring kami sehingga ke Tanjung Pagar
Ternyata suria di bumimu cukup cerah
dan cukup indah
Menyambut kami dengan cukup segar - dan senyum Pak Djamal
yang sangat mekar
Kami bersarapan pagi sementara
mengisi perut yang lapar.

Ah, Singapura!
Menurunimu mengingatkan kami kepada sejarah panjang bangsa
Menyedut udaramu membangkitkan rindu
yang membara, dan menyala
di dalam jiwa
Betapa pada satu masa dulu di peta dunia - dalam satu
garisan negara yang sama,
kita pernah dikumpul bersama.

Namun barangkali kami masih terlalu muda
Untuk menyedari golak-gelojak politikus berebut kuasa
berbalah di meja polemik, bertingkah di padang sentimen
berkejar di ranjau emosi - bermain api
Dan selepas puluhan tahun hidup berasing negeri
Leluhur kami di sini
Semakin dilupa dan sirna
Di tangan anak cucu sendiri.

Singapura, bumi da'wah subur tanah makmur
dengan penduduk jiwa luhur
Kami, sekumpulan anak muda Malaysia
Saudara kandungmu di utara negara
Datang ke jantungmu, mencari sebahagian hati
yang tertinggal di sini
Menjejak jejak nusa yang masih ada - dengan
cita-cita besar, dan harapan lebar
Untuk mencari besi-besi penyambung
rantai panjang perjalanan da'wah
Menerus legasi ummah
Doakanlah kami agar tidak mudah menyerah!


Putra Baginda
Muhammadiyah,
16 November 2008.

Lawatan Muhibbah ke Singapura (YPU&KAMY) 14-17 November 2008

| Tuesday, November 18, 2008 | 4 comments |
15 November 2008 (Sabtu)
8.00-9.00 pagi : Tiba di Stesen Keretapi Tanjung Pagar & ke City Backpackers
10.00-12.00 tgh : Lawatan ke Jamiyah Dakwatul Islamiyah, Geylang road
1.00-4.00 ptg : Lawatan ke Istana Kampung Gelam- Taman Warisan Melayu & Masjid Sultan
5.00 ptg : Acara Bebas

16 November 2008 (Ahad)
9.30-12.30 tgh : Lawatan ke Pusat Muhammadiyah
1.00-4.00 ptg : Lawatan ke Muzium Lt Adnan di Bukit Candu, Kent Ridge
4.00-6.00 ptg : Membeli-belah di Mustafa Centre
6.30-8.30 mlm : Solat & meninjau Masjid Istiqamah
8.30-11.00 mlm: Makan malam, deklamasi puisi di rumah Pak Djamal Tukimin

17 November 2008
10.00 pg : Bertolak ke Kuala Lumpur di Hentian Lavender



Catatan Perjalanan ke Singapura – Bahagian 1
Haizir Othman


Petang itu, 14 November 2008, aku dan isteri ke stesen komuter Teluk Gadong dari rumah dengan berjalan kaki. Ah, beg-beg kami berdua begitu berat dan perjalanan selama 10 minit ke sana telah melelaskan tapak tangan. Aku menyeberang jambatan untuk membeli tiket sewaktu aku menyedari telefon bimbitku tertinggal di rumah. Kami tidak menunggu lama sebelum kereta api dari Pelabuhan Klang tiba untuk menghantar kami ke KL Sentral. Malam ini jam 9 kami akan ke Singapura mengikuti rombongan Yayasan Pembangunan Ummah bersama Encik Mohd. Anuar Tahir. Seronok atau tidak perjalanan yang bakal kami tempuhi itu tidak dapat aku jangkakan kerana ini bakal merupakan kali pertama aku menjejakkan kaki ke republik itu.

Di KL Sentral, sempat aku dan isteri menikmati makan malam dan solat jama’ Maghrib dan Isya’ sebelum kami berjumpa anggota rombongan lain, Nadiah, Haliza, Kak Ina dan Aishah di tingkat dua, berhampiran Nile Books Store. Selepas itu, seorang demi seorang datang; Encik Anuar dan anak gadisnya, Nazifah, adik-beradik Amirah, `Adibah dan Anisah, pasangan suami-isteri Encik Nik dan Dalia, juga Liyana, Iezzat, Mujahedd, Himady, Asyraf, Fairuz dan Fathi. Kami tidak melepaskan peluang berkumpul beramai-ramai itu untuk bergambar dengan kamera masing-masing. Di luar stesen, hujan turun selebat-lebatnya.

Kami hanya menaiki kereta api kira-kira jam 9.15 malam. Gerabak kereta api yang kami naiki itu dinamai Senandung Malam, nama yang cukup melankoli. Dan malam itu perjalanan kami dari Kuala Lumpur ditemani bulan penuh malam Zulqa’idah, yang menemani kami sehingga ke Tanjung Pagar.

Sewaktu embun sudah menitik, kami masih di dalam gerabak, membuatkan Subuh kami pagi itu bersejadahkan cadar tilam kereta api yang empuk dan menenggelamkan dahi semasa bersujud. Sejuk malam tadi masih belum hilang. Aku ke bilik air dengan gigil dan gegar, kerana sejuk cuaca pagi dan kerana digoyangkan kereta api yang bergerak.

Kami perlu turun menyerahkan pasport dan slip imigresen untuk dicop di Pejabat Kastam dan Imigresen selain mengimbas beg, sebelum naik semula ke dalam gerabak. Setiba di stesen kereta api Tanjung Pagar, matahari telah pun meninggi, menyambut kami yang keletihan dan agak kelaparan. Pak Djamal Tukimin, sasterawan dan budayawan Singapura telah sedia menunggu kedatangan kami di sebuah kedai makan, tempat kami mengambil sarapan pagi selepas itu. Roti canainya tidak seempuk roti Malaysia, begitu juga nasi lemaknya tidak selemak nasi Malaysia; ia agak cepat memuakkan. Malah, teh tariknya agak berbau masam kerana dicampur dengan susu cair, bukannya susu pekat.

Pak Djamal meminta kami segera bersiap untuk ke destinasi pertama lawatan kami, Jam’iyyah Singapura di Jalan Gurney. Waktu sudah agak lewat, tidak memungkinkan kami ke penginapan terlebih dahulu untuk mandi dan bersalin baju. Maka pergilah kami ke sana, memulakan hari pertama kami di Singapura dengan badan melekit dan muka berminyak.




Pak Djamal, Bas Hijau & Singapura.
Nazifah Anuar


Di malam Jumaat 14 November ini, perasaanku menaiki keretapi ke Tanjung Pagar tidak mungkin serupa dengan perasaan Nadiah, Iezzat, Fairuz dan lain-lainnya. Aku sudah kebas dengan goyangnya, tutup-buka pintu otomatisnya, bunyi roda-rodanya mahupun sempit bilik airnya. Sejak kecil aku sekeluarga seringkali pulang semalaman begini ke Perlis kampung halaman. Melihatkan aksi Nadiah sibuk menjelajah pintu otomatis dan katil tingkat atas buat kami semua tertawa besar.

Pagi Sabtu 15 November, kali kedua aku melangkah ke Tanjung Pagar. Aku sama sekali tidak hampa. Keadaan lantai dan bahagian dalam bangunannya sudah direnovasi. tanah kepunyaan Malaysia ini akhirnya terpelihara, alhamdulillah. Cuma sedikit frustrasi bukan dengan rasa chapatti dan kuahnya namun dengan harga S$3 dollar untuk sepinggan sarapanku, aduh! Di Tanjung Pagar, kami dijemput Pak Djamal yang sederhana, pemandu bas yang pendiam tapi seringkali tersenyum dan bas kontot yang hijau. Bas hijau yang kami naiki itu betul-betul cukup dan muat-muat untuk kami berdua puluh orang. Perjalanan singkat ke Geylang Road membawa kami ke bangunan Jamiyah Dakwatul Islamiyah yang tersergam indah, warnanya juga hijau sedondon dengan bas yang kami naiki serta pohon tembun lagi rendang di seberang jalan.

Sebaik masuk ke dalam bangunan, dan melabuhkan punggung di kerusi, kami diberikan taklimat ringkas tentang Persatuan Jamiyah dan sejarahnya di mana Jamiyah telah ditubuhkan pada tahun 1932 menggenapkan umurnya seorang tua 76 tahun.
Kemudian kami dipecahkan ke dalam dua kumpulan bagi menaiki lif dan melawat dari satu tingkat ke tingkat yang seterusnya.

Tingkat pertama dilawati, ruangan solat yang juga dijadikan tempat solat jumaat. Terus kami ke tingkat seterusnya, tingkat ceria penuh warna warni. Ini tadika mereka. hiasan kemas, teratur, warna pelangi ini menarik hati seluruh peserta. Bila pula melihatkan bilik-bilik dengan konsep berbeza seperti bilik muzik, bilik komputer dan bilik kedai runcit lagilah hati ini berbisik, “Ah, terasa ingin jadi guru tadika pula!”. Kami diberitahu Cik Melissa, seorang pegawai perhubungan Jamiyah bahawa para pengajar di sini memerlukan sekurang-kurangnya Diploma in Early Childhood manakala sukatan pelajaran ditetapkan oleh pihak kementerian dan setiap semester menggunakan tema yang berlainan.
Kami kumpulan perempuan memenuhi lif lagi. Tingkat seterusnya membuatkan hati tambah kagum. Dalam bangunan yang ringkas ini pelbagai da’wah dan amal boleh dikembangkan. Ada bilik klinik bantuan guaman di mana peguam berbilang kaum saling bersukarelawan tanpa mengira apa jua perkara atau jenis kes. Hati berbisik lagi, “Ah, habiskan chambering, jadi peguam pun boleh bantu masyarakat juga!”. Maju lagi beberapa tapak, pintu bilik kaunseling terkuak. Encik Mohamed Mustafa menerangkan tentang koloborasi Pusat Kaunseling Jamiyah dengan Mahkamah Syari’ah Singapura. Kebanyakan kes kaunseling meragkumi kes pra-perkahwinan hingga ke selepas penceraian, kes alkohol, kes dadah dan sebagainya. Sambil kumis tersenyum, Encik Mohamed menerangkan kes perceraian pernah melibatkan warga tua berumur 90 tahun dan paling membanggakan sebanyak 45-50% perkahwinan telah berjaya diselamatkan. Kujeling ke kiri, terdapat sebuah bilik panjang yang beroperasi sebagai kedai runcit yang menawarkan harga barang lebih murah dari harga pasaran, suatu langkah bijak membantu orang ramai yang lemah ekonominya. Selain ini semua, Jamiyah mempunyai pusat-pusat yang lain seperti Darul Takrim; rumah bagi warga emas berbilang bangsa dan juga Darul Islah; beroperasi sebagai pusat serenti.

Yang Berbahagia Tuan Haji Abu Bakar Maidin, presiden Jamiyah Dakwatul Islamiyah Singapura di dalam ucapannya menyebut tentang kesusahan mendapatkan dana pada awal penubuhan Jamiyah di mana mereka terpaksa membuat kutipan derma dari rumah ke rumah. Selama ini mereka sering melakukan walkaton namun paling memberangsangkan adalah perjumpaan-perjumpaan luar apabila Arab Saudi telah mendermakan S$600,000.00 dollar yang digunakan untuk mendirikan bangunan yang kami sedang nikmati sekarang. Iya, bangunan ini sekarang sudah bersepuluh tingkat!

Bas hijau kontot yang comel berjalan lagi. ..
Kali ini kami singgah ke Taman Warisan Melayu, sebuah muzium warisan melayu yang mengumpulkan warisan orang melayu Singapura. Memang menarik, maka tertariklah ahli-ahli lawatan kami ini. Banyak benda boleh mereka ‘aksikan’ dengan kamera masing-masing. Ada al-Quran lama, keris, pingat, transkrip, surat diraja, contoh rumah melayu lama, contoh rumah melayu 60-an, barang-barang harian dulu-dulu, arca, paling menarik ada juga set penggambaran Filim Bujang Lapuk!
Kami-kami jalan kaki selepas itu ke Masjid Sultan betul-betul di hadapan Taman Warisan Melayu. Haji Asmawi, Pegawai Eksekutif Masjid Sultan menyambut kami. Beliau menerangkan sejarah Masjid Sultan berbantu tayangan slaid. Pada tahun 1824, Sultan Hussein Shah telah bertanggungjawab membina masjid ini. Masjid ini telah direka oleh Swan & Mclaren bernilai S$200,000.00 dollar bagi menampung 5,000 orang. Pada tahun 1975, Masjid Sultan telah diiktiraf sebagai Monumen Negara dan turut diisytihar sebagai Masjid Negara. Pada awal pembinaannya masyarakat setempat telah menyumbangkan botol-botol kicap untuk dijadikan hiasan kubah Masjid Sultan, aku tidak terbayang sebanyak mana botol kicap yang diperlukan. Namun sesuatu yang baru kami pelajari apabila Masjid ini sangat prihatin dengan golongan belia sehingga mengadakan pelbagai acara untuk menarik belia termasuklah membuat pertandingan musik, acara seni graffiti, kem remaja dan sembang-sembang remaja. Kami didengarkan cd lagu kumpulan-kumpulan musik yang memenangi pertandingan musik tersebut. Sedap!Jauh dari sangkaan. (cakappasalremaja.blogspot.com & sultanyouth.multiply.com)

Malam 15 November 2008, kami-kami tidak melekat pada bas hijau lagi…
Kali ini kami & Pak Djamal independen. Kami naik MRT! Maka terkedek-kedeklah Abah dan aku membeli tiket untuk 18 orang. Tangan macam robot kilang, huhu. Kami pergi ke Changi Airport untuk makan di foodcourt. Rata-rata memilih nasi ayam, kupilih bakso, bila ramai-ramai begini terkenang jogja agaknya. Bakso kurang enak, nasi ayam lebih oke. Maka dicuri dengan izin nasi ayam Kakina, Diba & Fairuz. Selepas ini berpecah lagi ada yang ke Esplanade & Merlion, ada yang ke Bugis & Esplanade. Sayang, lampu-lampu di Bangunan Esplanade berbentuk durian ini kurang menyala malam ini. Mungkin Esplanade menyeru kami datang lagi di lain kali?

Pagi Ahad, 16 November 2008, bas hijau bergerak lagi ke Pusat Muhammadiyah. Ustaz Abdul Salan Sultan (pegawai perhubungan Muhammadiyah) memberi penerangan tentang operasi Muhammadiyah dari tadika ke Kolej Islam Muhammadiyah. Muhammadiyah kini berumur 51 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1957. Tayangan video tentang Muhammadiyah sangat mengesankan di mana ia berhasil menunjukkan dekatnya kemanusiaan Muhammadiyah dengan masyarakat Singapura. Bagiku Muhammadiyah ringkas dan sederhana, suatu yang tampak tertonjol pada penggeraknya serta bagunannya. Namun tentang pergerakan dana Muhammadiyah, selain dari kutipan, Muhammadiyah mempunyai perniagaan dalam cabang penyediaan makanan (makanan beku segera), Agensi Pelancongan (Umrah & haji) dan Agensi pemasaran dan reka grafik. Perniagaan-perniagaan ini menyumbang sehingga 10-15% kepada dana Muhammadiyah. Suatu jalan yang sangat boleh dicontohi, target mereka ialah sumbangan sebanyak 30% kepada dana Muhammadiyah . Selepas selesai, kami dijamu ayam masak kicap dan tempe masak sambal. Bagiku sepanjang di Singapura makanan ini yang paling ringkas dan enak dinikmati sambil bersantai di kerusi dan meja kayu panjang di kantin Muhammadiyah di selang seli kehadiran anak-anak kecil dengan kain hijau berlari sana-sini, koosmangat!
Tengahari Ahad, bas hijau cuba mendaki Bukit Candu, Kent Ridge…
Terdiam sejenak kami-kami kerana bas tidak mampu menampung berat berlebihan di jalan yang curam. Jadi bas hijau mengambil jalan alternatif yang kurang curam. Berjaya akhirnya! Kami menghirup udara segar berjalan di bawah kanopi pokok hutan bagi memberi penghormatan buat Leftenan Adnan. Muzium Leftenen Adnan di sebelah yang berlawanan pula ternyata sebuah banglo putih yang sungguh canggih dan unik ciri-ciri muziumnya. Bak kata Abah, sayang Leftenan Adnan berkorban buat bangsa lain yang akhirnya berkuasa di tanah Singapura. Namun semangat juang pemuda melayu ini hingga ke peluru terakhir buat meremang bulu roma.

Petang Ahad itu, bas hijau turunkan kami-kami di Mustaffa Centre yang terkenal di Little India sehinggakan Pak Bujang @ Encik B.J mengatakan ianya suatu kerugian jika ke Singapura dan tidak ke Mustaffa Centre. Namun aku pasti ianya bukan suatu kerugian besar buat kami, warga Malaysia yang sudah terbiasa dengan Mydin Mall yang jauh lebih murah. Walau begitu kulihat Abah memborong cenderahati yang banyak, maknanya cenderahati di Mustaffa Centre pasti murah, pasti.

Di senja Ahad yang tenang, roda-roda bas hijau berputar lagi menuju ke Masjid Istiqamah. Kami bermaghrib dahulu di situ kemudiannya disambung dengan taklimat oleh Encik Saad, Pengerusi Eksekutif Masjid Istiqamah. Kami difahamkan Masjid Istiqamah adalah Masjid ke-2 dibina di bawah Dana Pembangunan Masjid. Ini adalah contoh masjid yang direka sendiri Ahli Jawatankuasa Masjid yang lebih memahami keperluan Muslimin dan Muslimat. Masjid yang perlukan belanja S$100,000.00 sebulan ini menjalankan perniagaan runcit dan makanan kecil-kecilan di bahagian bawah masjid (Savers Corner), kutipan, tabung masjid, yuran pengajian bagi menampung perbelanjaannya. Namun setiap kali kami melawat pasti ada yang paling menarik tentang sesuatu tempat itu. Masjid ini mengadakan W.R.I.T.E club bagi menggalakkan anak-anak kecil menulis dan memberi pendedahan tentang penulisan melalui bengkel-bengkel serta mereka dijadikan editor dalam majalah bulanan masjid. (http://www.alistiqamah.org.com/).

Destinasi akhir bas hijau akhirnya tiba di kediaman Pak Djamal, di tingkat satu sebuah pangsapuri. Ternyata pangsapuri ini selesa meskipun sejumlah besar kami ini mengisi ruangan utamanya. Pak Djamal dan keluarga ternyata beria menjamu kami dengan pelbagai jenis kuih dan pelbagai lauk-pauk ayam, daging lembu dan kambing berserta nasi beriani dan juga mihun goreng. Kenyang dan gembira. Kami kembali duduk santai menyaksikan video persembahan Pak Djamal di Esplanade. Kami sambung lagi penghargaan buat Pak Djamal dengan rangkap-rangkap pantun oleh Abang Haizir, Himady, aku sendiri, Asyraf, Fairuz , Kak Ina, Fathi dan Iezzat. Pantun yang kureka di dalam bas hijau berbunyi:

Puas berjalan kaki tak henti,
Tambah ilmu meninjau amal,
Segulung kasih seikhlas hati,
Selamanya kenang budi Pak Djamal!
Seterusnya puis-puisi Pak Djamal dibacakan oleh Mujahedd, aku dan Kak Ina. Puisi yang aku bacakan tentang Fatimah, puteri Rasulullah begitu menyuntik hati sehingga ke hari ini, bagai tak puas selagi tangan tidak dapat memegang koleksi puisi Pak Djamal itu. Lalu kami tinggalkan Pak Djamal sekeluarga dengan sesi fotografi. Bas hijau pon menembusi angin di jalanraya kota singa menuju ke hostel kami, City Backpackers.

Pagi sebuah isnin, 17 November 2008. Pengalaman baru buat aku dan yang lain. Kami menaiki bas untuk ke Hentian lavender di mana bas Transnasional untuk ke Puduraya sudah menunggu.

Selamat tinggal Pak Djamal, Bas Hijau dan Singapura!
Ternyata kami sudah merinduimu.

24 November 2008
Subang Jaya.


Mesyuarat Pertama KAMY sesi 2008/2009

| Thursday, October 23, 2008 | 1 comments |
Assalamualaikum w.b.r

Mesyuarat pertama bg sesi ini telah berlangsung pada 30/08/08 bertempat di YPU. Mesyuarat dipengerusikan oleh Sdr. Anuar Tahir dan kedatangan ahli seramai 17 orang.

Antara agenda yg telah dibincangkan adalah :
AGENDA 1 : Pembentangan laporan AGM KAMY oleh Sdr. Iezzat Khalis
AGENDA 2 : Pembentangan kegiatan/aktiviti KAMY bg sesi 2008/2009
AGENDA 3 : Hal-hal lain dan penutup

Berikut adalah senarai kegiatan/aktiviti KAMY yg telah dibincangkan dan perlu perbincangan selanjutnya :

1. Sukarelawan
  • kanak-kanak
  • cacat penglihatan
  • orang tua
  • hospital
  • blood donation
2. Wacana dan sarasehan KAMY-YPU perlu diteruskan
3. Mengadakan latihan keterampilan diri dan pertolongan cemas
4. Membentuk pasukan/petugas khas untuk bencana alam (adhoce committee)
5. Membentuk pasukan sukarelawan dengan menggabungkan pelajar-pelajar universiti yg mempunyai kepakaran dalam masing-masing
6. Program bersama orang asli
7. Malam Puisi & Islam di Singapura

Antara aktiviti yg memerlukan perhatian segera adalah Malam Puisi & Islam. Berikut adalah sedikit maklumat tentang program tersebut :
  • Tarikh : 15-17 Nov 2008 (Sabtu hingga Isnin)
  • Tempat penginapan : Banglo Pasir Ris, Singapura
  • Had bilangan peserta : 20 orang (buat masa ni ada 17 orang)
  • Aturcara program secara draft :
  • 14 Nov 2008 - Jumaat malam bertolak dengan menaiki keretapi
  • 15 Nov 2008 - Program Sosial, melawat Singapura
  • 16 Nov 2008 - Seminar Puisi & Islam
  • 17 Nov 2008 - Bertolak pulang dengan menaiki bas
Mesyuarat ditangguhkan pada jam 4 petang dan mesyuarat kedua pula pada 18 Nov 2008 iaitu pada hari Sabtu. Pada hari tersebut juga, sambutan Hari Raya YPU-KAMY juga akan diadakan.

Sekian.