Sarasehan 01/11 : TIp-tip Harungi UnivK (Universiti Kehidupan)

| Tuesday, February 15, 2011 | 1 comments |
Berkongsi pengalaman berharga bersama Pn. Azizah Che Mat, Senior General Manager,Group Human Resource Department di Sirim Berhad. Beliau telah berkhidmat di SIRIM lebih daripada 30 tahun dan mengetuai Jabatan Sumber Manusia dan bertanggungjawab menjaga lebih daripada 1000 kakitangan SIRIM di seluruh negara.

Pn. Azizah seorang yang merendah diri namun sangat positif dan optimis. Ayuh! lapangkan hujung minggu anda pada Ahad, 27 Feb ini untuk sama-sama meraih ilmu dan menimba pengetahuan luas daripada seorang insan yang telah berjaya di dalam kerjaya dan kehidupan.

Bukan sahaja seorang pekerja yang cemerlang, Pn. Azizah juga merupakan isteri mithali dan ibu terbaik untuk anak-anak beliau. Apa tips beliau? Nah! semuanya pada program ini.

Apa ditunggu lagi KAMYans? Jom sertai Sarasehan ini serta hadir dengan hati & minda terbuka untuk mempelajari sesuatu yang bermakna.

Tandakan diari & kalendar anda pada Ahad 27 Feb jam 10 pagi di YPU.

Jumpa semua di sana! :)

p/s: KAMY juga akan adakan majlis farewell untuk Joy selepas Sarasehan. Joy atau nama sebenarnya Haliza binti Sida merupakan AJK KAMY. Beliau akan berpindah ke kampung halaman tercinta di Kota Kinabalu, negeri di bawah bayu, Sabah. Jadi, sedikit jamuan untuk beliau akan kita adakan. Untuk itu, seperti kebiasaan program-program KAMY-YPU, pot-luck dari orang ramai amat-amat dialukan.


Terima kasih daun keladi.


Setiausaha KAMY,
Nadiah Zainal

Merapi dan Kenangan

| Monday, November 1, 2010 | 0 comments |
Pemandangan Merapi dari Candi Borobudur


Sayup terdengar azan di subuh hari

Memanggil umat tegak berdiri

Siswa-siswi pemuda putra-putri

Ayuh langkahkan kaki

Kami pemuda berani

Dengan semangat Merapi

Siap sedia berbakti

Pemuda berjati diri


Tiga tahun yang lalu, lagu ini telah mengiringi kegiatan riadah para peserta Temu Pemuda Serantau di Jogjakarta. Setiap pagi, selama seminggu kami mengalunkan irama ciptaan Pengerusi YPU dengan kuat dan penuh bertenaga. Seusai nyanyian, kami bersiar-siar menghirup udara segar.

Sedang berjalan di sekitar Wisma Puas, terdengar suara peserta Indonesia menyebut "Itulah Merapi". Kami memandang ke arah gunung dan tiba-tiba hadir rasa kagum melihat pemandangan di depan mata. Subhanallah! Indah sungguh ciptaan Ilahi. Terasa semangat Merapi meresap ke sanubari. Ditambah pula dendangan lagu Pemuda Serantau, sejak awal pagi.


Argh! tiba-tiba Merapi menggamit kenangan pabila di laman facebook, Neneng, salah seorang peserta Temu Pemuda Serantau mengutus berita letusan minggu lalu.
Dan, lebih mengejutkan mendengar kisah penjaga setia, sang pemegang kunci, Mbah Maridjan telah menemui Allah Yang Maha Esa dalam keadaan sujud di kediaman beliau.

Berbekalkan semangat Merapi, para peserta Temu Pemuda Serantau di Wisma Puas, Kaliurang, Jogjakarta dari 2 hingga 8 Jun 2007, pulang ke tanahair, lalu terbentuklah Kumpulan Aktivis Muda YPU (KAMY) tanggal 1 Julai 2007.


Sememangnya, Merapi amat signifikan dan punya nilai sentimental tersendiri dengan KAMY. Seminggu berada di bumi Jogja membawa seribu satu rasa ke sanubari para peserta. Dan, tatkala mendengar Merapi meletus jua mengorbankan banyak nyawa, jiwa kami turut diruntun.


Do'a KAMY agar masyarakat Jawa akan tabah menghadapi ujian besar ini. Buat Mbah Maridjan dan korban letusan, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi do'a agar roh mereka ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh.


Walau Jogja ditimpa musibah, usah kita berputus asa. Wahai ahli-ahli KAMY! Kembalikan semangat Merapi seperti yang pernah kita dendangkan, suatu ketika dahulu.

Ayuh! Langkahkan kaki.

011110
Petaling Jaya

PROJEK QURBAN MRA DI PAKISTAN

| Monday, October 25, 2010 | 0 comments |
Salam buat ativis KAMY,

Hari Raya Qurban bakal menjelang. Sekiranya ada di kalangan aktivis KAMY yang bercadang mengerjakan ibadah Qurban, sukacita saya memanjangkan satu Projek Qurban di Pakistan anjuran Malaysian Relief Agency. Satu bahagian Qurban hanyalah RM300 (1/7) dan seekor lembu berjumlah RM2100.

Sekretariat MRA di Peshawar akan menyelaras urusan pembelian dan penyembelihan daging lembu pada Hari Raya Qurban.

Adalah sewajarnya kita membantu mereka yang layak dan sangat memerlukan daging lembu setelah sekian lama memakan roti dan kacang dal rebus ekoran banjir besar tempohari.

Sekiranya berkemampuan dan ingin mengerjakan ibadah mulia ini, bolehlah terus menghubungi pihak MRA atau juga mewakilkan kepada saya memandangkan saya juga mengenali beberapa orang anggota MRA ini yang telah terlibat dengan projek kesukarelaan semenjak tahun 80 an lagi.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web ini.


Terima kasih semua.
Haslina Othman

10.10.10

| Monday, October 18, 2010 | 2 comments |

Rakyat Malaysia mengingati 10 Oktober 2010 sebagai tarikh perkahwinan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dengan pasangannya di Putrajaya. Kehadiran lebih 1500 tetamu termasuk angkasawan luar negara telah dicatat di dada akhbar.

Pada tarikh yang sama, berlangsung suatu peristiwa yang tidak kurang pentingnya di Lot 53 A Kg. Pasir Baru, Petaling. Satu projek kecil tapi signifikan telah berjaya dikendalikan oleh beberapa aktivis YPU-KAMY dibantu oleh anak-anak kecil Taski Kg. Pasir pada Ahad, tepat jam 10 pagi. Pengerusi YPU telah menanam sebatang pokok pisang, pokok mambu (neem) dan pokok durian belanda di sekitar kawasan Taski dalam usaha mengurangkan kepanasan global menerusi agenda lokal. Usaha murni ini adalah anjuran organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa iaitu 350.0rg dan International Biochar Initiatives.

10.10.10 jam 10 pagi merupakan tarikh keramat di seluruh dunia apabila lebih daripada 5000 NGO melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat mengurangkan kepanasan global. Gerakan dunia ini memberi impak besar terhadap alam sekitar.



Taski Kg. Pasir sebelum jam 10, telah menganjurkan pertandingan mewarna lukisan pokok dan alam sekitar khusus untuk kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun. Inisiatif ini penting dalam usaha mendidik generasi kecil mencintai dan memelihara alam sekitar.



Sdr. Hj. Ahmad Kamal Ali, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPU yang komited dengan pelbagai usaha membantu masyarakat menjayakan projek pertanian secara organik, penggunaan baja kompos, penanaman bandar (urban farming) dan banyak lagi; merupakan individu utama mencetuskan idea kepada ahli-ahli KAMY mengadakan projek yang diadakan serentak di seluruh dunia ini.


Beliau juga memaklumkan bahawa satu pusat organik telah diwujudkan di Kg. Cerakah Jaya. Projek di bawah Jabatan Pertanian Selangor ini membantu dan membimbing masyarakat dalam menghasilkan benih organik. Sdr. Hj. Kamal terlibat secara langsung memberi latihan pada setiap Rabu di lokasi tersebut. Dan, ahli-ahli KAMY turut diseru menyertai projek ini.

10.10.10 di Kg. Pasir sangat bermakna buat para aktivis KAMY. Mungkin, bagi anak-anak kecil Taski Kg. Pasir mereka belum memahami apa itu kepanasan global, namun mereka sudah sewajarnya diberi pendedahan. Ibarat kata melentur buluh, biarlah dari rebungnya.




Sekalung penghargaan buat Cik Leha sekeluarga yang sudi menjadi tuan rumah projek ini. Bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan tempat dan hidangan, malahan berusaha mengundang ibu bapa dan menganjurkan pertandingan mewarna untuk anak-anak Taski. Terima kasih Cik Leha!

Terima kasih jua kepada `Adibah yang mewakili KAMY memberi ucapan, Lookman sebagai pembaca do'a, 2 orang ahli KAMY yang baru [Leman dan Iza]. Leman yang beraksi hebat mencangkul tanah, Joy dan Iza yang turut menolong di dapur Taski, Cik Jamaliah yang menyediakan laksa best, Pak Ngah dan Mak Ngah. Tak lupa buat adik-beradik Diba i.e. Dr. Amirah-in-the-making, Arifah, Ammar, Anisah & Azizi.



Moga-moga pohon pisang, neem dan durian belanda 10.10.10 yang ditanam En. Anuar akan hidup subur sebagai lambang usaha murni kami, aktivis KAMY!